Saturday, August 16, 2008

CINTA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu. Darinya, Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya. Kemudian, setelah dicampurinya, isterinya mengandung kandungan yang ringan dan dia terus merasa ringan(beberapa waktu). Selanjutnya, tatkala dia merasa berat, keduanya(suami isteri) berdoa kepada Allah, Tuhan mereka, seraya berkata, “ Sesungguhnya jika Engkau memberi kami anak yang soleh, tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.”(QS al-A’raf[7]: 189)

Setiap manusia tidak mengira apa jua zaman, bangsa dan tempat tinggal telah dikurniakan oleh Allah swt, sebuah naluri untuk mengasihi dan juga dikasihi ( gharizatun nau’). Perasaan ini boleh jadi terhadap ibu bapa, adik beradik dan ada masanya terhadap seorang lelaki atau wanita yang halal bernikah dengannya. Islam mengiktiraf naluri ini, bukan menekannya dengan menganggap ia satu fitrah yang kotor, malah menunjukkan kepada semua umat manusia bagaimana pengaturan untuk menyalurkan naluri tersebut. Pengaturan tersebut ditunjukkan hanya melalui perkahwinan.

Dalam hal ini, Ibn Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:

Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang telah mampu memikul tanggungjawab, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya, siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai baginya.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud sebagai berikut:

Ada tiga orang yang berhak ditolong Allah:(1) seorang mujahid di jalan Allah, (2) seorang yang bernikah kerana ingin menjaga kehormatannya, (3) mukatib yang bekerja untuk memerdekakan dirinya.

Terdapat banyak nash lain yang menunjukkan bahawa perkahwinan merupakan jalan yang ditunjukkan bagi meluahkan naluri kasih sayang bagi lelaki dan wanita yang bukan mahram, selain terhadap hamba wanita.

Sebelum berlakunya pernikahan, walau sudah bertunang (khitbah) tidak boleh ada interaksi yang menunjukkan peluahan naluri tersebut. Tidak boleh mengatakan ‘saya sayang awak’, ‘I Love You’, apatah lagi keluar bersama untuk makan, shopping atau sebagainya. Tetapi sayangnya, kehidupan hari ini bercinta sebelum bernikah telah menjadi lumrah dalam masyarakat.

Tidak pernah timbul dalam Islam istilah boyfriend, girlfriend, pakwe, makwe, gewe, mata air dan sebagainya. Ini hanya wujud apabila umat Islam hidup dalam sistem yang bukan Islam yang menggalakkan peluahan naluri kasih sayang dan seksual secara bebas. Kita disajikan dengan klasik-klasik cinta seperti Romeo dan Juliet, Titanic, Mohabbatein, Mistress Hermanas, Mr Cinderella ,Alexander dan sebagainya. Akibatnya, umat Islam terpengaruh dan dijanjikan dengan khayalan-khayalan yang kononnya bercinta (sebelum bernikah) itu penuh dengan keasyikan dan mengarahkan ke jinjang pelamin. Ini semua hanyalah bisikan syaitan, sedangkan pada hakikatnya, ia adalah menghampiri zina(jika tidak terlanjur berzina), maksiat yang membawa ke neraka Allah. Sepatutnya jika pernah terlibat dengan maksiat sebegini bertaubatlah, manakala jika kita sendiri sedang asyik bercinta, tinggalkan serta merta, bertaubat dan mohonlah keampunan dari Allah swt. Jangan sampai sakaratul maut baru kita mahu bertaubat, sudah terlambat.

“Janganlah kamu menghampiri zina” (Al-israk : 32)

“ Dan tidak ada orang yang lebih sesat daripada orang yang mengikut hawa nafsunya dan tidak berdasarkan kepada petunjuk Allah. ( Al-Qasas: 50)

Suatu yang menyedihkan. biasa kedengaran ibu bapa yang tak membenarkan anak mereka bercinta di bangku sekolah, dengan alasan ditakuti mengganggu pelajaran. Kalau dah kerja atau masuk universiti tak mengapalah. Adakah ini pemikiran Islam, atau adakah ini merupakan kesesatan berfikir umat Islam hari ini akibat hidup dalam sistem kapitalis yang sememangnya menyogokkan kepada kita budaya materialisme, hedonisme dan sebagainya. Dan ramai antara umat Islam tanpa disedari mengamalkannya.

Jadi, bagaimana cara yang ditunjukkan oleh Islam dalam mengatur hubungan antara lelaki dan wanita. Pada asasnya, kehidupan lelaki dan wanita yang bukan mahram adalah terpisah kecuali pada perkara-perkara yang dibenarkan oleh syarak seperti bekerja, berjual beli, dakwah dan belajar. Walaupun demikian, hendaklah dihadkan interaksi tersebut sekadar kepada keperluan.

Maka bagi mereka yang telah bertunang, diperbolehkan berjumpa dengan ditemani mahramnya untuk membincangkan hal pernikahan, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Pertunangan bukan lesen untuk bercinta, keluar dating dan sebagainya.

Sabda Rasulullah(S.A.W)

“hendaklah kamu berjaga-jaga agar tidak berkhalwat dengan wanita”

(sahih Bukhari/Muslim)

“jangan ada di antara kamu yang berduaan dengan wanita kecuali jika disertai muhrimnya”

(Sahih Bukhari)

“barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah kamu berduaan bersama wanita tanpa disertai oleh muhrimnya kerana jika lelaki dan wanita duduk berduaan maka pihak ketiganya adalah syaitan”

Wahai seluruh umat Islam yang rindukan syurga Allah, laksanakanlah Islam secara keseluruhan. Bukan soal ijtima’i(sosial) ini sahaja, malah segala yang telah disyariatkan . Ia termasuk peribadatan khusus seperti solat, puasa juga berkaitan dengan cara hidup(mabda’) melibatkan politik, ekonomi, uqubat, dasar luar negara, pemerintahan, pendidikan dan sosial ini sendiri. Semua masalah ini hanya dapat diselesaikan dan kewajipan tersebut hanya mampu dilaksanakan apabila tertegaknya kembali sistem khilafah Islam yang mengikut jalan kenabian.

“Demi Allah yang nyawaku di tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari mungkar atau Allah akan menurunkan kepada kamu seksaan dari sisi-Nya, sehingga kamu berdoa kepada-Nya, maka Allah tidak mengabulkan doa-doa kalian”

(HR Ahmad dan Tirmidzi)

"Sesungguhnya imam adalah laksana perisai,yang (orang ramai )akan berperang di sebelah belakangnya ,dan ia akan dijadikan pelindung." (HR Muslim ,Abu Dawud ,An-Nasa'i ,Ahmad dari Abu Hurairah)-Khilafah Islam adalah perisai bagi kaum muslimin.

BUAT MU ADAM

Adam.....
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.

Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu,
sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam...
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu
di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah
dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam...
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan
aku. Tapi... aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu.

Namun... terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam...
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah
menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar
sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu.

Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku
dan kaumku telah ramai menderhakaimu.
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah.
Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti
ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.

Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari
sepatutnya.

Adam...
Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi
sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan
memikul senjata.
Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau
sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam...
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung! Kenapa? Mengapa begitu ADAM? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru
yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu
dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam...
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua.
Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal
manakala aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku...akalku satu nafsuku beribu! Dari itu adam.... pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa,
lalai dan alpa, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah, perdengarkanlah daku kalimah
syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam
dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam...
Andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan
lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu...

GADEES SOLEHAHanna_bunga.gif

Seorang manusia bergelar nabi, manusia lelaki pertama dicipta Allah, pernah menghuninya. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat, atas perintah Allah. Dia bebas menelurusi setiap ceruk menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan syurga, jauh di sudut hatinya masih ada suatu kekosongan. Mengapa? Kerana tiada wanita menemaninya dalam menikmati keindahan syurga! Maka diciptakannya wanita sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi.

Syurga masih terasa kurang lengkap tanpa wanita. Bidadari yang cantik jelita juga adalah wanita. Kalau begitu, boleh meriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap akal dan hati tahu jawapannya. Ya……tanpa wanita, sunyi sepilah dunia. Tidak banggakah kita menjadi wanita? Persoalannya, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita, kita boleh berbangga menyandang keistimewaan ini?

Perhiasan adalah suatu yang menambah seri suasana, menyejukkan hati dan mata. Seperti mana sejuknya hati dan mata apabila melihat bunga, demikianlah hati apabila melihat perhiasan. Tapi, kenapa tidak semua wanita menyejukkan hati sedangkan ia diciptakan sebagai pelengkap kepada perhiasan dunia dan akhirat? Malah, ada wanita yang menjadi punca kemelut dan kacau bilau. Garis pemisahnya ialah sekeping hati yang ia miliki.

Apabila hati diserahkan kepada Allah, kekallah wanita dengan asal penciptaannya iaitu penyejuk mata dan hati.Apabila wanita terus mengikatkan hati kepada zat yang menjadikannya, kekallah ia sebagai perhiasan yang dijaga rapi. Redup wajahnya mengundang pembelaan dari hati yang menjadi hamba Tuhan dan kerendahan hati yang tunduk kepada syariat meletakkan ia sentiasa dalam keredhaan dan perlindungan dari Zat Yang Maha Agung. Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasullullah:

" Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah."

Di dunia lagi bidadari mencemburui kesolehannya dan di akhirat bidadari sudi menjadi khadamnya.

Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskannya ke lembah fitnah kehinaan. Hilanglah redup wajah yang menjadi dambaan dan yang terserlah ialah kecantikan palsu yang menanti untuk dieksploitasi oleh manusia buas yang menjadi hamba nafsu.

Ibarat bunga sejati dan bunga plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi, harumnya lebih kuat daripada haruman bunga sejati…tapi haruman itu tidak kekal.
Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman palsu yang bersifat luaran. Berbeza dengan keharuman bunga sejati yang bersifat dalaman dan kekal. Keharuman bunga sejati tetap kekal dimana saja ia diletakkan, di jambangan ataupun sekadar tumbuh di pingggir belantara. Sebaliknya bunga plastik tetap kaku, haruman palsunya akan semakin hilang walaupun tersusun indah di jambangan emas.

Wanita solehah yang hatinya terikat dengan Allah-si gadis dihiasi sifat sopan dan malu; si anak mentaati ibu bapa; srikandi dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap suasana masyarakat; si isteri penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki `perhiasan' sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.

Seorang wanita yang hatinya jauh dari Tuhan masih mampu menjadi perhiasan dunia yang digilai oleh segenap lelaki. Kecantikan dan lentoknya menjadikan hati lelaki tunduk semahu-mahunya sehingga sangggup berkorban segala-galanya-sutau perhambaan yang tersirat. Terpenjaralah hati kaum Adam yang memilih perhiasan`palsu' ini.Hati menjadi sempit dan di akhirat terseksa tanpa batas!

Wanita boleh memilih untuk menjadi `bunga sejati'. Wanita solehah yang membawa tenang. Wanita juga boleh memilih untuk menjadi `bunga plastik'. Wanita yang mengundang kemelut, kacau bilau dan kehancuran. Kita sentiasa ada pilihan… maka pilihlah. Kita hanya akan layak menjadi `bunga sejati' jika hati tunduk kepada Tuhan. Bagaimanapun, Tuhan tidak pernah memaksa. Dia tetap agung walaupun kita sebagai hamba terus derhaka…Maha suci Allah yang telah memuliakan kita sebagai wanita. Daripadanya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali.

Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:

"Hendaklah kamu menasihati para wanita dengan sebaik mungkin, kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk, sesungguhnya bahagian yang paling bengkok pada tulang itu ialah yang di sebelah atasnya; apabila kamu mahu meluruskannya patahlah ia, dan sekiranya kamu membiarkannya kekallah ia dalam keadaan bengkok. Oleh itu tolonglah kamu nasihati para wanita dengan sebaik-baiknya"(Riwayat Bukhari, Muslim dan abu Hurairah)"



--------------------

Andai hidup punca perpisahan,
biarlah mati menyambungnya semula.
Namun seandainya mati punca perpisahan,
biarlah hidup ini membawa erti yang nyata.

BINGKISAN BUATMU DUHAI MUSLIMAH

Siapalah diriku ini untuk membuatkan dirimu menangis sebak, dan apakah layak bagiku untuk menasihati dirimu. Namun, inilah yang mampuku lafazkan, yang mampuku laungkan setelah kian lama terbuku di jiwa yang lara. Ku harap segalanya diterima dengan berlapang dada, kerana inilah taklifan buat diriku yang bergelar Adam, untuk meluruskan tulang rusuk yang ditakdirkan bengkok….

Bukankah diciptakan wanita untuk dilindungi sepenuh hati ?

Melihat senario kaum Hawa dewasa ini, diriku tertanya-tanya penuh kemusykilan. Mengapa dirimu kian jauh daripada-Nya ? Apakah dirimu telah lupa akan hukum-hakam yang disusun-Nya ? Ke manakah menghilangnya generasi mujahidah harapan agama ? Ingatlah duhai muslimah. Dirimu itu diciptakan sebaik-baik kejadian. Jangan sekali-kali ciptaan Yang Maha Tinggi dipersiakan. Hanyalah redha-Nya yang kita impikan, bukannya undangan kemurkaan-Nya yang kita harapkan…

"Takutlah kamu kepada wanita, kerana fitnah yang paling besar menimpa Bani Israel adalah kaum wanita..." (Mutafaq 'alaih)

Jelas bersuluh di dalam sabda Baginda yang dirindui, sesungguhnya kaum hawa mampu menggoncang dunia. Jauh sekali tafsirannya bahawa wanita diciptakan sebagai perosak, sebaliknya wanita diciptakan untuk dinobatkan sebagai sayap kiri bagi para mujahid. Dalam berjuang demi menegakkan Deen di dalam diri, keluarga juga ummah.

Wanita itu bisa menjadi madu, kenikmatan dan kemanisannya menjadi pemangkin pada kebangkitan Islamiah. Inilah yang diharapkan dari insan yang bergelar muslimah solehah. Dan wanita juga mampu untuk menjadi racun, bisanya terus memudaratkan seraya menghancurkan agama yang dicintai. Nauzubillahi min zalik ! Jauhkan dirimu dari palitan noda maksiat, membutakan hati dan meruntuhkan peganganmu...

"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah..." (Mutafaq 'alaih)

Jadilah perhiasan dunia, yang dihiasi dengan bunga ketaqwaan. Sirami jiwamu dengan titis haruman iman, maka terpeliharalah dirimu dari fitnah dunia